Isnin, 9 November 2009

Wahabi sebahagian ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Lebih 100 individu yang menggelar diri mereka sebagai Kelompok Intelektual Muslim Muda (KIMM) mendakwa kerajaan menyembunyikan fatwa bahawa fahaman Wahabi merupakan sebahagian daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jurucakapnya, Dr. Azwira Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak seharusnya menyembunyikan fakta itu kerana ia telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak beberapa tahun lalu.

''Justeru, KIMM meminta kerajaan supaya tidak bersikap prejudis terhadap golongan yang dilabelkan berfahaman Wahabi hanya kerana perbezaan amalan setempat,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat KIMM di sini semalam.

Hadir pada mesyuarat itu ialah Penasihat KIMM, Datuk Seri Shahidan Kassim; bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan para pemimpin tertinggi KIMM.

Bagaimanapun, Mohd. Asri tidak muncul pada sidang akhbar berkenaan.

Dalam sidang akhbar itu juga, KIMM mendesak kerajaan dan pihak berkuasa agama supaya berlaku adil kepada ilmuwan agama dengan membuat lapan tuntutan iaitu:

n Tidak bersikap prejudis atau melabel individu tertentu yang menyebarkan Islam sebagai sesat.

n Memberi layanan adil kepada semua pendakwah dalam pemberian tauliah mengajar dan memberi ceramah agama.

n Membuang 'senjata' tuduhan seperti gelaran Wahabi kepada tokoh agama hanya kerana perbezaan pendapat.

n Jangan membiarkan individu tertentu menuduh para ulama kerajaan Arab Saudi sebagai sesat.

n Hentikan cercaan kepada tokoh ilmuwan Islam seperti imam-imam mazhab empat, Ibnu Tamiyyah, Ibnu Qayyim, Imam Syaqibi Muhammad bin Abdul Wahab dan ilmuwan lain.

n Memberi ruang berdakwah secara adil kepada aliran yang tidak dikategorikan sesat.

n Mana-mana individu yang memiliki kelulusan pengajian Islam/agama yang sah perlu dikecualikan daripada tauliah.

n Tidak mengkategorikan fahaman yang berbeza dengan amalan setempat sebagai ajaran sesat.

IMAN Minta JAIS Jelaskan Apa Sebenarnya Kriteria 'Tauliah' Penceramah

PETALING JAYA: Persatuan Musliman Interaktif (IMAN) merasa begitu terganggu dengan isu JAIS-Dr Asri yang mengejutkan umat Islam di negara ini.

Perkara ini, menurut IMAN, mudah mencetuskan pergeseran kerana umat Islam akan berpihak-pihak, lantas berpecah belah.

Ini dinyata oleh presiden IMAN, Profesor Madya Dr Kamar Oniah Kamaruzaman dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

"Umat Islam di Malaysia tidak memerlukan situasi seperti ini. Sudah tentu fokus dan usaha semua kita yang beragama Islam, apa lagi institusi, agensi dan pertubuhan Islam wajar ditumpukan kepada mengembangkan dan menganjurkan ajaran Islam bagi kebaikan bersama," jelas Kamar Oniah.

Kata beliau lagi, alasan JAIS ialah kerana Dr Asri tidak mempunyai 'tauliah' untuk mengajar dan berdakwah dalam negeri Selangor.

"Tapi Dr Asri adalah seorang sarjana Islam yang berkelayakan khususnya dalam bidang al-Quran dan hadith. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab beliau untuk menyebarkan ilmu yang dimilikinya, suatu 'tauliah' dalam bentuk amanah Illahi. Wajarkah seorang tokoh agama yang berilmu ini mengutamakan JAIS daripada perintah Allah?," soal Kamar Oniah.

Tambahnya, " Lagi pun, adalah menyalahi akhlak Islam dan menyalahi adab dan pekerti orang Melayu mengasari para ilmuan, apa lagi para 'ulama'.

"Tindakan JAIS ini menghina dan mencabar umat Islam dan orang Melayu. Apa yang dari kacamata JAIS merupakan tindakan untuk membetulkan satu 'kesalahan' telah berakhir dengan menjadi kesalahan yang lebih besar."

Menurut Kamar Oniah, IMAN menyeru JAIS untuk menjelaskan apa sebenarnya 'tauliah' yang diperkatakan itu.

"Apa sebenarnya tauliah yang diperkatakan itu? Bagaimana ia diberi? apakah kriteria penilaian, apakah perkara-perkara yang menyebabkan permohonannya ditolak dan siapakah yang dipertanggungjawabkan untuk meluluskannya?"